Thursday, December 18, 2014

Malam Di tengah Kotaraya


 malam itu
keluar melihat-lihat sebahagian kecil kawasan-kawasan
yang masih hidup kala malam menginjak ke pagi
 
dataran itu
lorong itu
jalan itu
 
tidak pernah sunyi dari hiruk pikuk kota
kala yang remaja menguji-uji lajunya kuasa rempitan
berlumba-lumba celahan kereta
yang masih tidak henti melalui jalan-jalanraya
 
di sudut-sudut dataran yang gelap
ada sang penyair menyusun kata memujuk sang gadis
asyik memadu kasih
 
di sudut lorong-lorong yang kelam
ada transaksi jual beli dagangan
entahkan barangan entahkan orang
 
di sudut jalan-jalan terang
ada kumpulan-kumpulan pemabuk
berjalan beriringan mahu pulang
 
dalam sibuk menjadi pemerhati
dalam asyik menikmati ragam
pun sebenarnya aku ini punya
hati terlalu sunyi
 

No comments:

Post a Comment

nak cakap apa-apa tak?